Kenyataan Media – Pasukan MLBB Professional Negara ke Kejohanan Piala Dunia Esports di Riyadh

TIMBALAN PERDANA MENTERI

KENYATAAN MEDIA

PASUKAN MOBILE LEGEND BANG BANG (MLBB) PROFESIONAL NEGARA KE KEJOHANAN PIALA DUNIA ESPORTS DI RIYADH

Saya telah mengadakan pertemuan tertutup bersama wakil MOONTON Games dan tiga (3) pasukan sukan elektronik (esports) iaitu Selangor Red Giants, Homebois dan Gaimin Gladiators HomeGirls di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya hari ini, yang akan mewakili Malaysia dalam permainan Mobile Legend: Bang Bang (MLBB) ke peringkat kumpulan dan wild card Mid Season Cup (MSC), Mobile Legends: Bang Bang Women’s Invitational (MWI) dan Piala Dunia Esports (Esports World Cup atau EWC) di Riyadh, Arab Saudi.

Dalam pertemuan ini, saya telah menyatakan komitmen dan sokongan terhadap MOONTON Games serta pasukan Selangor Red Giants, Homebois dan Gaimin Gladiators HomeGirls. Sebelum ini, saya juga telah menyatakan hasrat untuk memberikan pengiktirafan yang sewajarnya kepada industri esports di peringkat Kabinet ketika menghadiri ke Grand Finals MLBB Professional League (MPL) Malaysia Musim ke-13 pada 2 Jun 2024 lalu.

Meskipun esports masih baru berbanding sukan konvensional lain seperti bola sepak, badminton dan sebagainya, namun ianya menjadi salah satu pilihan riadah paling popular khususnya dalam kalangan belia.

MLBB turut menjadi permainan Multiplayer Online Battle Arena (MOBA) mudah alih yang paling popular di dunia yang menyatukan komuniti melalui kerja berpasukan dan strategi. Dengan lebih daripada 1.465 bilion muat turun dan 110 juta pengguna aktif bulanan, permainan ini turut memenangi pelbagai anugerah dan menjadi antara 10 permainan dalam talian yang paling banyak dimainkan di lebih 80 buah negara.

Saya percaya sokongan Kerajaan terhadap esports seperti MLBB akan membawa banyak kelebihan terutamanya dalam menaikkan imej negara di peringkat antarabangsa memandangkan MLBB ini mempunyai jangkauan yang meluas di peringkat global dan tersedia di lebih 139 buah negara. Kehadiran YB Timbalan Menteri Belia dan Sukan sebagai wakil Kerajaan ke kejohanan Mobile Legends: Bang Bang M5 World Championship 2023 di Manila, Filipina dan mengumumkan Malaysia sebagai tuan rumah seterusnya pada tahun lalu adalah merupakan antara sokongan pihak Kerajaan kepada sukan elektronik dan mengiktiraf usaha yang dimainkan oleh pihak industri.

Dengan pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah kejohanan Mobile Legends: Bang Bang M6 World Championship 2024 yang akan disertai oleh para atlet dari seluruh dunia pada bulan November nanti, pastinya Kerajaan akan memberikan komitmen sepenuhnya untuk bersama-sama merealisasikan penganjuran acara yang berprestij ini, bagi mewujudkan ekosistem esports yang lebih mampan dan memberi kesan positif kepada masyarakat, termasuk menjadikan Malaysia antara destinasi pelancongan esports yang terkemuka di rantau ini yang juga selaras dengan objektif yang terkandung dalam Pelan Strategik Pembangunan Sukan Elektronik Kementerian Belia dan Sukan. Sokongan yang diberikan oleh KBS, dengan kerjasama agensi kerajaan yang berkaitan melalui Esports Integrated (ESI), adalah penting bukan sahaja untuk Kejohanan Dunia M6 tetapi juga untuk ekosistem esports Malaysia secara keseluruhannya.

Selain itu, sebagai Pengerusi Majlis TVET Negara, saya juga melihat potensi besar yang terdapat dalam industri sukan elektronik di negara ini yang boleh dikembangkan dengan mewujudkan program khas Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) untuk menggilap bakat para belia tempatan dalam menyokong ekosistem esports meliputi kemahiran seperti kewartawanan dan pengulas esports, produksi penyiaran, pengurusan pasukan dan kejurulatihan, serta penganjuran acara dan kerja teknikal.

Saya telah mengakhiri pertemuan pada hari ini dengan melakukan gimik pelepasan wakil Malaysia iaitu pasukan Selangor Red Giants, Homebois dan Gaimin Gladiators HomeGirls di kejohanan MSC di Piala Dunia Esports 2024 yang akan berlangsung di Riyadh pada 28 Jun hingga 14 Julai ini, dan MWI pada 24 hingga 27 Julai 2024. Semoga ketiga-tiga pasukan ini akan memperoleh kejayaan sekaligus mengharumkan nama negara di persada antarabangsa.

Ahmad Zahid Hamidi
Timbalan Perdana Menteri
21 Jun 2024