Anugerah Lagu Indie meraikan tahun ke-4 dengan nafas baru!

Anugerah Lagu Indie yang merupakan sebuah platform yang dicipta khas untuk memberi pengiktirafan kepada lagu-lagu indie, kini memasuki tahun keempat, dan kali ini diberi nafas baru seperti yang dinanti-nantikan oleh komuniti muzik indie!Anugerah ini telah dianjurkan sebagai acara tahunan sejak tahun 2020 dengan misi utamanya untuk memberdayakan komuniti muzik indie tempatan dengan menyediakan platform mencungkil bakat mencipta lagu, terbuka untuk semua rakyat Malaysia*.  

Demi meneruskan agenda mengangkat martabat dan karya ciptaan penulis lagu, pemuzik serta penyanyi indie, Anugerah Lagu Indie tahun ini diberi nafas baru apabila memperkenalkan kategori-kategori lagu terbaik di bawah genre Pop, Rock, dan HipHop; menambah baik format pemarkahan dengan melibatkan undian awam; serta meningkatkan tawaran hadiah wang tunai terkumpul daripada RM 10,000 pada musim pertama kepada RM 36,000 pada musim ini. Semenjak penganjurannya bermula tahun 2020, Anugerah Lagu Indie masih meraikan pelbagai genre kerana industri indie bukan sekadar muzik rock alternatif, tetapi merentasi pelbagai sempadan runut, bunyi dan komposisi. Anugerah ini sedang dalam fasa pencalonan yang akan berakhir pada 31 Januari 2024, dan meraikan kemuncak pada malam 7 Mac 2024.

*Tertakluk terma dan syarat yang tertera di anugerahlaguindie.com.my.

Menyingkap sejarah kejuaraan di Anugerah Lagu Indie

Tidak dapat dinafikan, sokongan dan sambutan daripada komuniti muzik indie adalah faktor utama anugerah ini dapat diteruskan sehingga ke hari ini.  Komposer yang mencipta lagu, penulis yang mencipta lirik, pemuzik yang mengalunkan irama, penyanyi yang menyumbangkan vokal, penari yang menyajikan aksi, serta para peminat yang tidak jemu menyokong dan mendorong artis-artis indie untuk terus berkeyakinan dalam menghasilkan karya yang asli dan berkualiti.  Ayuh, kita singkap semula bakat-bakat indie yang lahir di atas pentas Anugerah Lagu Indie.

[2020] Musim Pertama : “Penawar” – Margosa

Pada tahun 2020, Anugerah Lagu Indie telah menerima sebanyak 630 penyertaan lagu, namun hanya 13 lagu terbaik sahaja yang berjaya mendapat tempat untuk membuat persembahan di Pentas Akhir #ALI2020.
#ALI2020 juga memperkenalkan Anugerah Lagu Popular dan Carta Indie Kita sebagai anugerah sampingan.  “Pelukan Angkasa” – Sekumpulan Orang Gila ft. Shila Amzah telah berjaya membolot kedua-dua anugerah sampingan tersebut.
“Penawar” – Margosa telah dinobatkan sebagai Juara #ALI2020, menewaskan “Mesra” – Nusarasa dan “Menunggu” – Orkes A. Hizadin ft. Ainina Hasnul, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.




(Foto bawah:) Margosa semasa persembahan di Pentas Akhir #ALI2020

[2021] Musim Kedua :  “Enge Port” – Arunboii

Musim kedua telah mencatat peningkatan penyertaan kepada 757 lagu, namun kali ini hanya 12 lagu terbaik sahaja yang berjaya merebut tempat untuk membuat persembahan di Pentas Akhir #ALI2021.

“Enge Port” – Arunboii telah tampil sebagai Juara #ALI2021.  Lagu yang dicipta oleh Black Yoda, serta penulis lirik dan dinyanyikan oleh Arunboii ini telah berjaya menambat hati para juri profesional dengan iramanya yang asli dan berkualiti.  “Jauh” – Nusarasa mendapat tempat kedua manakala “Tentang Siang, Malam dan Romantis” – Ainina Hasnul ft. Eidi Teman Lelaki memenangi tempat ketiga.














(Foto kiri:) Arunboii semasa persembahan di Pentas Akhir #2021

[2022] Musim Ketiga :  “Sinaran” – Late Night Frequency ft. Ichu

Sekali lagi Anugerah Lagu Indie merekodkan bilangan jumlah penyertaan lagu tertinggi iaitu sebanyak 808 lagu. Dengan pertembungan yang sengit, lagu kolaborasi ceria “Sinaran” – Late Night Frequency ft. Ichu dinobatkan sebagai Juara. “Tidak Sempat Merasa Indah” – Elly Ysuni x Eli Nyson mendapat tempat kedua, manakala tempat ke-3 dimenangi oleh “Years and Days” – Reza Salleh ft. Yonlynn.  Bagaimanapun, lagu “Naraka” – Purbawara memenangi kategori Lagu Paling Popular menerusi undian peminat, membuktikan trend muzik indie yang melangkaui sempadan. 
Late Night Frequency. Sumber foto: Youtube Anugerah Lagu Indie

Muncul tiga kali di Pentas Akhir Anugerah Lagu Indie, Heidi Moru takkan putus asa

Tiga tahun berturut-turut menyertai Anugerah Lagu Indie, sekali pun nasib masih belum menyebelahi Heidi Moru. Pemilik suara merdu dan gemersik dari Sabah ini mula mengukir namanya dalam industri muzik sejak memenangi tempat kedua Bintang RTM pada tahun 2018.  
Kali pertama kemunculan Heidi Moru di Anugerah Lagu Indie adalah pada tahun 2020 beliau mempertaruhkan lagu “Jika Ini Yang Terbaik” ft. Hasha Roslan ciptaan AIRM. Nasib tidak berapa baik, Heidi pulang dengan tangan kosong namun kembali di Pentas Akhir pada tahun berikutnya dengan membuat dua kemunculan sekaligus, menerusi lagu “Bingkai Rasa” bersama Ruang Hati dan “Kangen” bersama band Kididanoto.  Malang sekali bagi Heidi apabila terpaksa pulang dengan tangan kosong buat kali kedua.
Seakan tidak lelah dan tanpa berputus asa, #ALI2022 sekali lagi menyaksikan Heidi Moru berentap di Pentas Akhir, juga dua buah lagu dipertaruhkan! Kali ini Heidi telah menghantar lagu ciptaannya sendiri berjudul “Senja”, dan “Cinta”, ft. Modread ciptaan Fami Ikhwan.
“Anugerah Lagu Indie adalah satu-satunya anugerah yang diciptakan khusus untuk mencungkil dan mengiktiraf bakat pencipta-pencipta lagu indie (bebas).  Mungkin agak sukar untuk artis-artis indie mengukir nama secara komersial dalam industri muzik tanah air, namun kewujudan ALI dapat mengisi dan merapatkan jurang tersebut,” ulas Heidi Moru.















Heidi Moru. Sumber foto: Youtube Anugerah Lagu Indie

Demi muzik indie 

Lantaran sambutan menggalakkan yang diterima oleh Anugerah Lagu Indie sepanjang tiga tahun lalu, barisan tenaga ALI nekad untuk meneruskan legasi penganjuran anugerah tersebut untuk kali ke-4 pada tahun ini. ALI pada tahun ini diterajui oleh tiga (3) orang Penerbit Eksekutif Bersama, Ahmed Faris Amir yang juga merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Rakita 107.9; Loy Ekzan, pengamal media, penggiat komuniti indie dan antara tulang belakang XFM yang terkenal sebagai platform muzik indie Malaysia sehingga tahun 2012; dan Jennifer Thompson, mentor industri indie dan juga bekas produser Anugerah Bintang Popular selama 9 tahun dan Anugerah Industri Muzik selama 15 tahun.

“Anugerah Lagu Indie bukan anugerah berdasarkan populariti, sebaliknya elemen indie dan kualiti sesebuah lagu itu sendiri yang menjadi kriteria utama dalam komponen penilaian juri.  Anugerah ini sangat penting dalam menambah variasi kepada lagu-lagu yang popular sekarang ini menerusi media mainstream,” kata Ahmed Faris Amir, Penerbit Eksekutif Bersama Anugerah Lagu Indie.
“ALI penting dalam proses menemui dan mencapai bakat baharu dengan memainkan peranan sebagai platform yang diikuti secara aktif oleh profesional industri, peminat dan artis lain. Platform seperti ini memberi tumpuan kepada artis baharu, memudahkan proses ‘networking’, boleh menjadi peluang kerjasama antara artis & jenama serta meningkatkan jenama artis-artis ini dalam kalangan platform penstriman, media sosial dan pelbagai saluran media. Jangkauan artis ‘indie’ kepada khalayak yang lebih luas harus dipertingkatkan supaya industri tempatan kita sendiri boleh menjadi lebih menarik daripada anugerah “popular” lain setiap tahun,” kata AG Coco, Juri Anugerah Lagu Indie.
“Anugerah Lagu Indie adalah platform yang penting untuk komuniti muzik. Bukan sahaja untuk tujuan memberi pengiktirafan dan penghormatan kepada bakat indie, tetapi juga untuk mengumpulkan komuniti muzik dan peminat bersama-sama menyokong komuniti yang berbakat ini – komposer, penulis lirik dan pemuzik. Ini adalah tahun keempat, dan kami mengharapkan lebih ramai yang akan menyertai misi untuk memberi perhatian kepada bakat-bakat indie… ini bukan soal menang atau kalah, tetapi untuk memperkenalkan dan menekankan indie sebagai aspek yang sangat penting dalam komuniti muzik, kepada orang ramai,” kata Jennifer Thompson, Penerbit Eksekutif Bersama Anugerah Lagu Indie.

Anugerah Lagu Indie akan terus kekal dalam perjuangan untuk mengiktiraf dan menyokong komuniti muzik indie dengan harapan agar setiap karya yang dibawa ke platform ini akan diterima dengan lebih meluas oleh peminat muzik Malaysia.

Juri Anugerah Lagu Indie 2023

Anugerah Lagu Indie 2023 memperkukuhkan kualiti pemilihan tahun ini dengan 7 orang juri berpengalaman dalam kancah muzik indie dan arus perdana. Roshan Jamrock, seorang rapper, produser, penyanyi dan penulis lagu yang merupakan sebahagian daripada K-Town Clan. Edwin Raj yang tidak asing menerusi band TOKO KILAT dan They Will Kill Us All (TWKUA), dan merupakan seorang profesional dalam bidang seni kreatif. Ariana Adnan yang merupakan gitaris kumpulan rock dan power pop, Couple; dan merupakan sebahagian daripada kumpulan The Venopian Solitude dan Fazura and The Waklus. Diandra Arjunaidi, penyanyi dan penulis lagu yang konsisten sejak single pertama beliau pada tahun 2011, “Angkasa”.  WingMeng yang merupakan gitaris kumpulan Love Me Butch. Juwita Suwito, penyanyi, penulis lirik dan produser vokal terkenal. Akhir sekali, AG Coco, seorang produser, penulis lagu, pemain gitar utama Hujan dan pemilik Kamar Seni.

Dari kiri: Roshan Jamrock, Edwin Raj, Ariana Adnan, Diandra Arjunaidi, WingMeng, Juwita Suwito dan AG Coco

Pencalonan lagu untuk #ALI2023 sudah pun bermula!  

Pencipta lagu indie tempatan yang berminat untuk mencalonkan lagu ciptaan mereka di Anugerah Lagu Indie dijemput untuk menghantarkan karya lagu dalam apa-apa bahasa bermula dari 5 Disember 2023 sehingga 31 Januari 2024.

Lagu yang dicalonkan mestilah lagu ciptaan asli dengan lirik dan muzik yang asli, serta pernah diterbitkan dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2023 menerusi platform Youtube, Spotify, Deezer, Apple Music, SoundCloud, Bandcamp atau radio.  Layari www.anugerahlaguindie.com.my untuk maklumat lanjut.

# # #

Tentang Anugerah Lagu Indie

Anugerah Lagu Indie (ALI) adalah Rancangan Anugerah Indie Malaysia sendiri untuk mengiktiraf sumbangan bakat-bakat muda dalam komuniti tempatan dan industri muzik indie.  “Muzik Indie” merujuk kepada muzik yang diterbitkan secara bebas (karya sendiri) tanpa sebarang ikatan dengan label rakaman komersial dari proses penulisan, rakaman hingga penerbitan lagu.  ALI terbukti menjadi batu loncatan untuk artis indie ke peringkat yang lebih tinggi. Salah seorang pemenang ALI, “Pelukan Angkasa” oleh SOG dan Shila Amzah memenangi AJL 2022; dan Late Night Frequency yang memenangi ALI 2022 memenangi satu kategori dalam AIM 2022.

Hubungi Kami

Pertanyaan program:
Marwan Bin Zaharudin
Komunikasi
E-mel: ali@rakita.my
Tel: 017-6477493

Follow Anugerah Lagu Indie:
Laman web       www.anugerahlaguindie.com.my
Instagram          @anugerahindie 
Facebook           @anugerahindie 
TikTok                  @anugerahindie 
X                           @anugerahindie
Pertanyaan media:
Mia Amira Ishak
Perhubungan Awam dan Komunikasi
E-mel:  mia@impact.my
Tel: +6014-689 6068