Puchong, 7 Disember 2023 – Anugerah Lagu Indie (ALI) kembali untuk musim keempat dengan nafas baru untuk terus memberi penghormatan kepada bakat indie terbaik dalam industri muzik Malaysia.
Demi meneruskan agenda mengangkat martabat dan karya penulis lagu, pemuzik serta penyanyi indie tanah air sejak 2020, ALI tahun ini membawa beberapa kelainan iaitu dengan memperkenalkan kategori-kategori lagu terbaik di bawah tiga kategori genre iaitu Pop, HipHop, dan Rock, format pemarkahan yang melibatkan undian awam, serta peningkatan tawaran hadiah wang tunai daripada RM 16,000 pada musim lalu kepada RM 36,000.
Ahmed Faris Amir, Ketua Pegawai Eksekutif Rakita 107.9 berkata, “Rakita 107.9 akan terus kekal menjadi tulang belakang ALI dalam memperjuangkan pengiktirafan kepada muzik indie dengan harapan agar setiap karya yang dibawa ke platform ini akan diterima dengan lebih meluas oleh peminat muzik Malaysia. Kami juga mengalu-alukan peluang untuk bekerjasama dengan lebih ramai penggiat industri ini, supaya ALI akan sentiasa ada untuk menyokong generasi dan bakat muzik indie di masa akan datang.”
Pemuzik indie Malaysia yang berminat untuk mencalonkan lagu ciptaan mereka sendiri kepada ALI adalah dijemput untuk berbuat demikian bermula dari 5 Disember ini sehingga 31 Januari tahun hadapan dengan menghantarkan penyertaan menerusi laman web rasmi, www.anugerahlaguindie.com.my.
# # #
Tentang Rakita 107.9
Lebih daripada sekadar stesen radio, Rakita 107.9 adalah solusi media 360° yang komited dalam menerbitkan kandungan infotainment yang unik dan segar khusus untuk belia (dalam lingkungan umur 15 hingga 34 tahun) dengan memfokuskan bakat-bakat indie (“independent”/bebas) dalam pelbagai bidang termasuk muzik, seni visual, bisnes, sukan/e-sukan, dan banyak lagi. Kami ingin menjadi platform kepada belia untuk mereka menyuarakan pendapat, menonjolkan bakat dan berkongsi kisah inspirasi bersama pendengar dan pengikut lain, seterusnya dapat memupuk rakyat Malaysia yang cakna sosial, positif, aktif dan progresif. Dengarkan Rakita di frekuensi 107.9 FM, layan podcast Rakita.my di Spotify, tonton video, cerita, berita, dokumentari, persembahan muzikal secara langsung dan banyak lagi menerusi laman media sosial Rakita di Youtube, Facebook, Instagram, Twitter, dan Tiktok.
Tentang Impact Integrated
Impact Integrated adalah sebuah agensi pemangkin strategik untuk dan di bawah kawal selia Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan (SBMJ) yang didorong oleh impak dan bukan berkeuntungan, Impact Integrated mempunyai tiga bidang tumpuan iaitu belia, sukan elektronik dan media merentasi beberapa jenama utama; Impact Malaysia, Rakita 107.9, Esports Integrated, Spacerubix, dan mySukan TV.