Siaran Media Pelancaran Jelajah Kopi Bermuzik

Jelajah Kopi Bermuzik Tingkatkan Minat Belia Dalam Seni Muzik

Petaling Jaya – YB Adam Adli telah melancarkan program Jelajah Kopi Bermuzik di sidang media yang diadakan di Starbucks Reserve Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya. Turut hadir semasa majlis tersebut adalah En. Ahmed Faris Amir, Ketua Pegawai Eksekutif Rakita 107.9, Cik Zakiah Hanim, Pengarah Pemasaran dan Kategori, Berjaya Starbucks, dan En. Chow Tuck Mun, Ketua Yoodo.

Jelajah Kopi Bermuzik adalah sebuah program jelajah dengan intipati perkongsian ilmu tentang industri muzik di samping menghiburkan penonton dengan persembahan artis di 5 lokasi Starbucks terpilih.

Program selama 2 jam ini bakal menampilkan 3 artis tempatan di setiap lokasi yang akan berkongsi ilmu mencipta lagu dan pengalaman mereka berkecimpung dalam industri muzik dan diakhiri dengan persembahan akustik secara eksklusif.

JKB adalah sebuah inisiatif Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Rakita 107.9 dengan kerjasama Starbucks dan Yoodo, yang turut menyokong gaya hidup Rakan Muzik dibawah program Rakan Muda.

Antara artis yang akan turut serta dalam Jelajah Kopi Bermuzik termasuklah Orkes A. Hizadin, Amir Jahari, Hawa, Bihzhu dan Heidi Moru. Nantikan pengumuman butiran lanjut di www.instagram.com/rakita.my.

“Sejak Rakan Muda dilancarkan semula pada tahun ini, KBS ingin memperluaskan lagi penglibatan anak muda dengan penyertaan aktif dalam gaya hidup yang keseronokan, bertenaga dan bermakna. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Rakita 107.9 kerana tampil dengan Jelajah Kopi Bermuzik sebagai salah satu inisiatif untuk mengaktifkan Gaya Hidup Rakan Muzik di bawah program Rakan Muda. Di kesempatan ini juga saya ingin seru semua orang muda tanpa mengira bangsa untuk mendaftar dan menyertai Rakan Muda dan mendapat manfaat yang positif dari program ini.”

YB Adam Adli, Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

“Menerusi Jelajah Kopi Bermuzik, kami menyediakan platform untuk peserta menimba ilmu tentang persembahan dan seni muzik penciptaan lagu di samping berpeluang untuk berdialog secara langsung dengan artis berpengalaman. Dengan menggunakan konsep cerita kedai kopi, program santai ini menggalakkan para peserta untuk berkongsi cabaran yang mereka hadapi dan bertanya soalan secara langsung kepada artis-artis yang dapat memberi nasihat dan bimbingan kepada permasalahan mereka.”

En. Ahmed Faris Amir, Ketua Pegawai Eksekutif Rakita 107.9.

“Kami sangat teruja untuk menjadi sebahagian daripada program Jelajah Kopi Bermuzik untuk memberdayakan generasi muda dan mendorong kreativiti mereka. Bersama-sama, kami menggabungkan tenaga belia, aroma kopi, dan irama muzik untuk membina aspirasi generasi yang penuh bersemangat. Inisiatif ini adalah platform bagi anak muda untuk berkembang, menyuarakan diri, dan mencari suara unik mereka dalam dunia ini. Inilah tempat di mana kopi dan muzik bergabung untuk memenuhi cita-cita anak muda.”

Cik Zakiah Hanim, Pengarah Pemasaran dan Kategori, Berjaya Starbucks.

“Sebagai syarikat telco digital sepenuhnya, Yoodo sentiasa bertekad untuk menarik minat generasi milenial dan Gen Z. Inilah yang mendorong Yoodo untuk menawarkan pengalaman unik melalui muzik dan hiburan. Selaras dengan perkembangan Yoodo, fokus kami adalah untuk meningkatkan segmen gaya hidup, dan muzik Indie adalah sebahagian besar segmen ini. Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Rakita sekali lagi, daripada membawa lagu-lagu indie yang mendominasi carta Malaysia setiap minggu, hingga menghubungkan rakyat Malaysia melalui perjalanan kopi dan muzik dengan Starbucks.”

En. Chow Tuck Mun, Ketua Yoodo.

Penyertaan di semua lokasi Jelajah Kopi Bermuzik adalah percuma. Peserta di setiap lokasi layak mendapat diskaun 20% untuk kesemua minuman Starbucks sepanjang program jelajah sedang berlangsung. Minuman Starbucks percuma juga menanti anda sekiranya peserta mendaftar dengan Yoodo di lokasi-lokasi JKB. Senarai tarikh dan lokasi JKB adalah seperti berikut:

AgendaTarikhLokasiArtis
Sidang Media29.09.2023Starbucks Reserve Tropicana Gardens Mall, Petaling JayaOrkes A. Hizadin, Amir Jahari, Hawa
Jelajah Pertama20.10.2023Starbucks Batu Ferringhi, PenangOrkes A. Hizadin, Amir Jahari, Hawa
Jelajah Ke-222.10.2023Starbucks Sunway Tambun DT, IpohOrkes A. Hizadin, Amir Jahari, Hawa
Jelajah Ke-327.10.2023Starbucks Seri Austin DT, Johor BahruOrkes A. Hizadin, Amir Jahari,
Heidi Moru
Jelajah Ke-404.11.2023Starbucks Kota Laksamana DT, MelakaOrkes A. Hizadin, Bihzhu,
Hawa
Jelajah Ke-511.11.2023Starbucks Bamboo Hills DT, Kuala LumpurOrkes A. Hizadin, Bihzhu,
Hawa

Belia berusia antara 15 hingga 30 tahun dijemput menyertai Rakan Muda untuk peluang mengikuti lebih banyak program-program menarik yang dicipta khusus untuk orang muda Malaysia. Pendaftaran Rakan Muda boleh dibuat dengan melayari https://www.kbs.gov.my/rakanmuda.html.

Tentang Rakita 107.9

Lebih daripada sekadar stesen radio, Rakita 107.9 adalah solusi media 360° yang komited dalam menerbitkan kandungan infotainment yang unik dan segar khusus untuk belia (dalam lingkungan umur 15 hingga 34 tahun) dengan memfokuskan bakat-bakat indie (“independent”/bebas) dalam pelbagai bidang termasuk muzik, seni visual, bisnes, sukan/e-sukan, dan banyak lagi. Kami ingin menjadi platform kepada belia untuk mereka menyuarakan pendapat, menonjolkan bakat dan berkongsi kisah inspirasi bersama pendengar dan pengikut lain, seterusnya dapat memupuk rakyat Malaysia yang cakna sosial, positif, aktif dan progresif. Dengarkan Rakita di frekuensi 107.9 FM, layan podcast Rakita.my di Spotify, tonton video, cerita, berita, dokumentari, persembahan muzikal secara langsung dan banyak lagi menerusi laman media sosial Rakita di Youtube, Facebook, Instagram, Twitter, dan Tiktok.

Tentang Impact Integrated

Impact Integrated adalah sebuah agensi pemangkin strategik untuk dan di bawah kawal selia Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan (SBMJ) yang didorong oleh impak dan bukan berkeuntungan, Impact Integrated mempunyai tiga bidang tumpuan iaitu belia, sukan elektronik dan media merentasi beberapa jenama utama; Impact Malaysia, Rakita 107.9, Esports Integrated, Spacerubix dan mySukan TV.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *