Belajar Urus Kewangan Peribadi Sebelum Ke Alam Pekerjaan Menerusi Jelajah Belia Celik Duit

Belajar Urus Kewangan Peribadi Sebelum Ke Alam Pekerjaan Menerusi Jelajah Belia Celik Duit

Puchong, 13 Oktober 2022 – Impact Malaysia bakal mengadakan Program Jelajah Belia Celik Duit dengan visi untuk mengetengahkan isu literasi kewangan serta aktiviti membina kapasiti dalam penciptaan impak sosial dan keusahawanan dengan menyasarkan lebih 1,000 penglibatan belia berumur 18 hingga 34 tahun, dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (BPLTV), Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dan Bahagian Matrikulasi.

Jabatan Insolvensi Malaysia merekodkan seramai 10,137 belia muflis antara tahun 2020 sehingga Jun tahun ini, di mana isu pinjaman peribadi menjadi punca utama kes muflis, iaitu membabitkan seramai 1,486 orang atau 47 peratus daripada 3,165 keseluruhan kes muflis. Antara faktor lain belia muflis ialah sewa beli kenderaan sebanyak 249 kes, pinjaman perniagaan (654 kes), pinjaman perumahan (284), hutang kad kredit (140), penjamin korporat (84), hutang cukai pendapatan (83), gagal membayar caruman KWSP (65), biasiswa dan pinjaman pelajaran (7) serta 113 kes disebabkan oleh faktor lain.

“Setiap masalah harus diselesaikan daripada akarnya. Ramai belia berpendapat bahawa jika mereka didedahkan dengan teknik pengurusan kewangan di kolej atau universiti, mereka akan dapat mengurus kewangan peribadi dengan lebih baik setelah masuk ke alam pekerjaan. Jelajah Belia Celik Duit merupakan program pendek yang cukup lengkap dengan pelbagai aspek seperti pengurusan kewangan peribadi, asas keusahawanan dan perkongsian berkenaan sindiket penipuan kewangan, yang akan membantu belia untuk bersedia mengurus kewangan sendiri sebelum masuk ke alam pekerjaan dan persediaan menghadapi kemungkinan kemelesetan ekonomi,” kata Ahmed Faris Amir, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Impact Malaysia.

Jelajah yang akan bermula pada 13 Oktober sehingga 1 November 2022 di 12 lokasi institusi pendidikan yang bertempat di dua zon iaitu utara yang terdiri daripada Negeri Perlis dan Pulau Pinang, manakala di zon selatan ialah Negeri Johor dan Melaka.

Program selama satu hari di setiap institusi bakal menawarkan sesi perkongsian yang bertajuk “Belia 1 – Scammer 0”, yang berkongsi tentang isu ‘scam’ yang semakin berleluasa kini, dan pelbagai teknik untuk menghindari dan menangani cubaan ‘scammer’ dengan kerjasama Ibu Pejabat Kontinjen PDRM Perlis, Pulau Pinang dan Johor.

Seterusnya, peserta diberi peluang untuk menyertai 2 bengkel yang bertajuk “Belia Celik Duit” dan “Bisnes Orang Muda”. Bengkel Belia Celik Duit berfokus kepada pelbagai strategi praktikal untuk belia menguruskan kewangan peribadi dengan kerjasama AKPK (Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit) Alor Setar dan Pulau Pinang. Bengkel Bisnes Orang Muda pula khusus untuk melatih usahawan muda dalam kalangan mahasiswa untuk merancang idea bisnes mereka, menerusi modul Business Model Canvas dengan kerjasama Picksum, sebuah ekosistem pembangunan usahawan belia.

Berikut merupakan senarai kampus dan institusi pendidikan yang terpilih untuk Jelajah Celik Duit 2022:

Zon Utara

  • IPG Kampus Perlis, Kangar, Perlis – (14 Okt)
  • Kolej Vokasional Arau, Perlis – (15 Okt)
  • Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin Arau, Perlis – (16 Okt)
  • ILP Kangar, Perlis – (17 Okt )
  • Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang – (18 Okt)

Zon Selatan:

  • Kolej Matrikulasi Kejuruteraan Johor, Pontian, Johor – (27 Okt)
  • IPG Kampus Tun Hussein Onn, Batu Pahat, Johor – (28 Okt)
  • KV Batu Pahat, Johor – (29 Okt)
  • Politeknik Tun Syed Nasir, Pagoh – (30 Okt)
  • ILP Tangkak, Johor – (31 Okt) Politeknik Merlimau, Melaka – (1 Nov)

Impact Malaysia mengalu-alukan kerjasama dari institusi pendidikan dan pelbagai institusi yang berfokuskan belia untuk membawa program ini ke tempat anda. Untuk maklumat lanjut mengenai Jelajah Belia Celik Duit dan program-program kelolaan Impact Malaysia, sila layari www.impact.my dan ikuti laman media sosial Impact Malaysia, Facebook/Twitter @impactdotmy, atau Instagram @impactmsia.

Mengenai Impact Malaysia

Impact Malaysia merupakan inisiatif impak sosial Impact Integrated, agensi di bawah kawalselia Kementerian Belia dan Sukan. Impact Malaysia memperkasa golongan muda untuk menjadi changemaker menerusi pelbagai aktiviti pembangunan kapasiti, dana, projek impak sosial, kerjasama dan komunikasi strategik.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *