ESI Membuka Tirai Liga E-sukan Malaysia (MEL22) Peringkat Kebangsaan

ESI Membuka Tirai Liga E-sukan Malaysia (MEL22) Peringkat Kebangsaan

PUCHONG, Oktober 2, 2022 – Liga E-sukan Malaysia atau Malaysia Esports League 2022 (MEL22) Peringkat Negeri yang telah berlangsung sejak September lalu kini telah pun melabuhkan tirai, sekaligus menambah debaran siapakah yang bakal menjadi juara Liga Kebangsaan MEL pada tahun ini. Esports Integrated (ESI), sebuah inisiatif oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memangkin ekosistem sukan elektronik yang rancak, mampan dan inklusif di Malaysia, selaku penganjur utama, telah mengumumkan pembukaan MEL22 Peringkat Kebangsaan semasa di majlis sidang media yang berlangsung di ESI Hub, Spacerubix, lewat petang tadi.

Sebelum ini, Liga Negeri MEL22 telah berlangsung dari 12 hingga 29 September lalu secara maya di 13 buah negeri dan 3 wilayah persekutuan, manakala Liga Kebangsaan MEL22 akan berlangsung sehingga 2 November ini dan dijalankan secara fizikal di ESI Hub yang bertempat di Spacerubix, Puchong. Selepas tiga minggu persaingan sengit di peringkat negeri, pasukan yang berjaya mara ke peringkat seterusnya akan mewakili negeri-negeri mereka di Liga Kebangsaan.

Dengan hadiah terkumpul sebanyak RM299,500, tahun ini MEL22 menambah 2 tajuk permainan baharu dan 3 kategori baharu, termasuk liga paralimpik khusus untuk orang kelainan upaya (OKU). Susulan daripada kejayaan Malaysia Esports League 2021 (MEL21), MEL22 mensasarkan untuk menyedia platform yang lebih komprehensif dan inklusif untuk pemain sukan elektronik akar umbi tempatan menonjolkan bakat seterusnya membina kerjaya profesional dalam industri sukan elektronik.

Tahun ini, MEL dibahagikan kepada 3 siri iaitu Siri MEL22 Regular yang terkandung di dalamnya pecahan Liga Negeri dan Liga Kebangsaan yang membariskan 3 judul permainan – Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), PlayerUnknown’s Battleground Mobile (PUBGM) dan Garena Free Fire (FF); manakala Siri Terbuka MEL22 pula dipecahkan kepada 3 judul permainan – Dota 2, FIFA23 dan Valorant; dan Para MEL22 mempertaruhkan hanya 1 judul permainan iaitu Mobile Legends: Bang Bang (MLBB).

Dalam Siri MEL22 Regular, para pemain sukan elektronik akar umbi akan bertanding di Liga Negeri masing-masing bagi merebut tempat untuk mewakili negeri mereka di Liga Kebangsaan. Dengan kerjasama Moonton, Tencent dan Garena, ketiga-tiga penerbit untuk judul-judul permainan MLBB, PUBGM dan FF, pemenang di playoff kebangsaan akan mara ke kejohanan sukan elektronik profesional anjuran ESI, iaitu Kejohanan E-sukan Malaysia 2022/2023 atau Malaysia Esports Championship (MEC) 2022/2023 dan kemudiannya berpeluang untuk mempertaruhkan bakat di sirkit profesional di bawah penerbit judul permainan seperti MLBB Pro League Malaysia (MPL), PUBGM National Championship (PMNC) dan FF Malaysia/Cambodia/Philippines Majors (FF MCPS).

Siri Terbuka MEL22 akan menyusul sebaik Liga Kebangsaan tamat iaitu bermula pada 9 hingga 30 November dan terbuka kepada semua pemain dari pelbagai peringkat (amatur, separa profesional dan profesional). Para MEL22 pula adalah kesinambungan kejohanan anjuran ESI pada tahun lalu yang memberi peluang kepada peminat sukan elektronik OKU untuk menyertai kejohanan MLBB. Kedua-dua siri ini juga akan diadakan secara fizikal di ESI Hub.

“Untuk membina komuniti sukan elektronik profesional yang lebih besar dan lebih kukuh di negara ini, kita mesti mempunyai asas yang kukuh di peringkat akar umbi. Salah satu daripada kaedah yang digariskan dalam pelan strategik kami adalah untuk mewujudkan platform di mana bakat akar umbi boleh dicungkil dan diiktiraf, kerana itulah kami mewujudkan Malaysia Esports League yang kini berjalan untuk tahun kedua. MEL adalah salah satu platform utama untuk peminat sukan elektronik Malaysia bersaing tanpa mengira jantina, etnik dan keupayaan fizikal. Melalui MEL, KBS berpeluang mengaktifkan komuniti akar umbi sukan elektronik tempatan di kesemua 13 negeri dan 3 wilayah persekutuan. Wawasan daripada pengaktifan pertandingan ini adalah penting untuk memastikan dasar strategik oleh KBS dilaksanakan secara langsung dan lebih berkesan. Ini membantu kami menambah baik pendekatan strategik kami dalam mencipta dan memupuk bakat sukan elektronik baharu, dan untuk menjadi industri yang lebih inklusif serta merangkumi kepelbagaian,” kata YB Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker, Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

“Jumlah penyertaan MEL22 kekal tinggi pada tahun ini, terutamanya dengan penambahan kategori daripada 4 kepada 7 kategori tahun ini. Dengan lebih 50,000 peserta berdaftar di dalam pengkalan data, MEL22 adalah kejohanan sukan elektronik akar umbi yang terbesar dan inklusif yang pernah dianjurkan kami sehingga kini. Penting untuk saya akui bahawa MEL22 tidak akan berlaku tanpa sokongan berterusan daripada 16 Persatuan Sukan Elektronik Negeri dan Wilayah Persekutuan, penerbit permainan seperti Moonton, Garena dan Tencent Games, serta jenama dan media seperti Nescafe, eGG Network dan Rakita 107.9,” ulas Fadzli Rahim, Naib Presiden Operasi dan Pertumbuhan, ESI.

MEL22 dianjurkan oleh KBS menerusi ESI dengan kerjasama daripada 16 persatuan sukan elektronik negeri dan wilayah persekutuan serta disokong oleh Penaja Gangsa, Nescafe dan rakan media iaitu eGG Network dan Rakita 107.9. Pendaftaran untuk Siri Terbuka MEL22 dan Para MEL22 kini masih dibuka melalui www.esukan.gg. Tonton siaran langsung perlawanan MEL22 di Facebook ESI – Esports Integrated dan KBS.

Tentang Impact Integrated

Kami adalah agensi pemangkin strategik untuk dan di bawah bidang kuasa Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Sebagai sebuah syarikat berhad menurut jaminan (SBMJ), Impact Integrated mempunyai tiga fokus utama iaitu belia, sukan elektronik, dan media merentasi beberapa buah jenama iaitu Impact Malaysia, Rakita 107.9, Esports Integrated, Spacerubix, Picksum dan mySukan TV.

Tentang Esports Integrated (ESI)

Esports Integrated (ESI) adalah sebuah inisiatif untuk memangkin ekosistem sukan elektronik yang rancak, mampan dan inklusif di Malaysia. Matlamat ESI adalah untuk membina struktur dan program-program untuk menyokong pembangunan ekosistem yang rancak, mampan dan inklusif yang mampu merangsang pertumbuhan, memastikan perlindungan, dan meluaskan kepelbagaian. Sebagai sebuah inisiatif, ESI amat menitikberatkan galakan pertumbuhan dan peluasan ekosistem sukan elektronik dan dalam masa yang sama memastikan bahawa ekosistem tersebut bersifat inklusif dan meliputi nilai-nilai sihat.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *