PUCHONG, 23 Jun 2022 – Sukan Badan Berkanun Virtual Edition 2022 telah melabuhkan tirainya pada hari ini setelah diadakan selama tiga hari bermula pada 21 Jun yang lalu bertempat di ESI Hub Spacerubix di sini. Majlis penutup bagi program ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), YBrs. En. Ahmad Faedzal bin Md Ramli, mewakili pihak Persatuan Badan Berkanun Malaysia (PPBM) selaku penganjur utama.
SUKANUNVE 2022 merupakan kejohanan edisi ke-2 dianjurkan oleh PPBM dan julung kalinya diadakan offline. Kejohanan edisi pertama telah diadakan pada tahun 2021 secara online berikutan pandemik Covid 19. Bagi edisi kali ini, hanya tiga acara sahaja yang dipertandingkan iaitu FIFA 2022, Mobile Legend dan PUBG. Dari segi penyertaan, SUKANUNVE 2022 mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada 33 agensi Badan Berkanun yang berdaftar di bawah Persatuan Badan Berkanun Malaysia dengan jumlah penyertaan adalah seramai 600 orang.
Objektif utama kejohanan ini diadakan adalah untuk membina networking atau hubungan persahabatan khususnya di kalangan agensi-agensi Badan Berkanun melalui penglibatan dalam aktiviti sukan tanpa mengira kalah atau menang. Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih tidak terhingga kepada beberapa agensi Badan Berkanun dan syarikat-syarikat swasta yang telah memberikan sumbangan penajaan bagi menjayakan SUKANUNVE 2022 iaitu :-
- Esports Integrated (ESI)
- Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB)
- Institut Penyelidikan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI)
- TH Travels Sdh. Bhd.
- Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia (TOURISM)
- Caps Lock iT Technology
- Lucid Technologies (M) Sdn. Bhd.
- Universiti Teknologi MARA (UiTM)
- Institut Sukan Negara (ISN)
Sekalung tahniah juga kepada penganjur bersama dan jawatankuasa kerja seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Institut Sukan Negara (ISN), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Esports Integrated (ESI) dan pihak Malaysia E-Sport Association (MEA) yang telah bertungkus-lumus memastikan kelancaran kejohanan ini.
Penganjuran SUKANUNVE 2022 ini merupakan titik permulaan kepada lebih banyak lagi kejohanan sukan esports di ruang esport global, memberikan lebih ramai peluang kepada orang ramai untuk mengubah minat mereka menjadi kerjaya dan dalam proses mengurangkan kadar pengangguran terutamanya di kalangan belia yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.
Dikeluarkan oleh;
Sekretariat SUKANUNVE 2022.