Esports Integrated (ESI) Melancarkan Liga Esukan Malaysia 2021 (MEL21) Buat Julung-Julung Kalinya

\"\"

PUTRAJAYA, 3 JULAI 2021 – Menteri Belia dan Sukan (KBS), YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican pada hari ini mengumumkan pelancaran Liga Esukan Malaysia 2021 (MEL21). Sebagai sebahagian daripada Pelan Rangka Tindakan Esukan Kebangsaan KBS dan melalui Esports Integrated (ESI), sebuah liga esukan peringkat negeri dan kebangsaan akan berlangsung bermula dari 10 Julai ini hingga 10 September 2021 dengan tawaran hadiah terkumpul melebihi RM200,000. Matlamat MEL21 adalah untuk menyediakan sebuah platform yang mapan kepada pemain akar umbi di semua peringkat (amatur, semi-profesional dan profesional) untuk bertanding dan menyerlahkan bakat mereka menerusi sebuah liga esukan kebangsaan. Liga-liga ini akan berlangsung secara atas talian, mengikut SOP yang telah ditetapkan di bawah Pelan Pemulihan Negara – Fasa 1.

MEL21 dianjurkan oleh ESI, sebuah inisiatif di bawah kawal selia KBS, dengan kolaborasi bersama 16 buah persatuan esukan negeri. MEL21 bakal berlangsung dalam dua peringkat: Liga Negeri dan Kebangsaan, dengan mempertandingkan 4 buah permainan yang cukup popular dalam kalangan peminat esukan: PlayerUnknown’s Battlegrounds Mobile (PUBGM), Mobile Legends: Bang Bang (MLBB), EA Sports FIFA21 dan Dota 2.

“Penganjuran dan pelaksanaan MEL21 melalui inisiatif ESI adalah merupakan salah satu fokus utama strategik dibawah Pelan Rangka Tindakan e-Sukan KBS dan Bajet 2021. Ia bertujuan untuk membangunkan ekosistem e-Sukan negara yang rancak, mapan dan inklusif.” Kata YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican, Menteri Belia dan Sukan.

“Kebanyakan kejohanan yang berlangsung di Malaysia selama ini hanya memberi galakan kepada pelibatan pemain profesional sahaja, manakala pemain amatur dan semi-profesional hanya berpeluang untuk bertanding di pertandingan berskala lebih kecil ini adalah jurang yang ingin dirapatkan oleh MEL21. Dengan menganjurkan liga esukan peringkat kebangsaan yang pertama, pembangunan pemain boleh dikembangkan lagi dan bakat mereka akan ditonjolkan kepada semua,” kata Ketua Pegawai Eksekutif ESI, Ahmed Faris Amir.

“Kami berasa amat gembira dapat menganjurkan MEL21 bersama-sama dengan 16 persatuan esukan negeri, sebuah kerjasama yang dijangkakan berterusan untuk edisi-edisi yang akan datang. Sokongan daripada penerbit permainan seperti Moonton dan Tencent Games membuktikan minat mereka terhadap pembangunan dan penyertaan bakat di peringkat akar umbi.”

Pusingan pertama iaitu Liga Negeri akan bermula dari 31 Mei hingga 30 Jun 2021 dan akan berlangsung serentak di kesemua 13 buah negeri dan 3 Wilayah Persekutuan. Pusingan kelayakan akan berlangsung dengan format knockout best of three sebelum finalis bertanding menerusi format round-robin semasa mara ke pusingan League Proper. Pemenang dalam setiap kategori akan menerima RM2,000 dan akan mewakili negeri mereka dalam pusingan kedua, Kebangsaan, bermula 5 Julai hingga 30 Julai 2021. Liga Kebangsaan yang juga menggunakan format round-robin bakal berlangsung selama 3 minggu, dan pasukan atau pemain dengan mata tertinggi bakal memenangi hadiah tunai berjumlah RM20,000 dan dinobatkan sebagai Juara Kebangsaan.

Pendaftaran MEL21 telah dibuka. Untuk maklumat lanjut mengenai pendaftaran dan jadual perlawanan, layari www.esukan.gg.

-Tamat-

Mengenai Impact Integrated
Kami adalah sebuah agensi pemangkin strategik untuk inisiatif-inisiatif yang berteraskan belia dan sukan di bawah kawal selia Kementerian Belia dan Sukan (KBS). Terdapat lima buah entiti di bawah Syarikat Berhad Menurut Jaminan (SBMJ) ini iaitu: Impact Malaysia, sebuah inisiatif pembangunan belia dan inovasi sosial; Rakita, sebuah jenama ‘infotainment media’ pelbagai saluran berteraskan belia; Spacerubix, sebuah hab inspirasi lengkap dengan kompleks sukan dan ruang acara di Puchong; Picksum, sebuah platform ‘marketplace’ untuk produk-produk buatan usahawan tempatan; dan Esports Integrated, sebuah inisiatif untuk memangkin ekosistem Esukan yang rancak, mapan, dan inklusif di tanah air kita ini.

Mengenai Esports Integrated
Esports Integrated (ESI) adalah sebuah inisiatif untuk memangkin sebuah ekosistem Esukan yang rancak, mapan, dan inklusif di Malaysia. Matlamat ESI adalah untuk membina struktur dan program-program untuk menyokong pembangunan ekosistem yang rancak, mapan dan inklusif yang mampu merangsang pertumbuhan, memastikan perlindungan, dan meluaskan kepelbagaian. Sebagai sebuah inisiatif, ESI amat menitikberatkan galakan pertumbuhan dan peluasan ekosistem Esukan dan dalam masa yang sama memastikan bahawa ekosistem tersebut bersifat inklusif dan meliputi nilai-nilai sihat.

Hubungi Kami
Fadzli Rahim
Vice President, Operations & Growth, Esports Integrated
E-mel: media@esportsintegrated.com / fadzli@esportsintegrated.com
Telefon: +60 17-360 6136