‘PENAWAR’ DINOBATKAN JUARA SULUNG ANUGERAH LAGU INDIE 2020

PUCHONG, 3 OKTOBER 2020 – ‘Penawar’ telah dinobatkan sebagai Juara Anugerah Lagu Indie (#ALI2020) di Pentas Akhir yang bersiaran dari Spacerubix, Puchong, semalam. Lagu yang dipopularkan oleh Margosa tersebut berjaya menewaskan ‘Mesra’ nyanyian Nusarasa dan ‘Menunggu’ nyanyian Orkes A Hizadin dan Ainina Hasnul.

Tiga siri Separuh Akhir #ALI2020 yang lalu telah menyaksikan sebanyak 13 buah lagu terbaik menumpaskan 22 buah lagu sekaligus berjaya merebut tempat untuk berentap di Pentas Akhir #ALI2020.

10 finalis lain yang telah menggegarkan Pentas Akhir #ALI2020 adalah Budak Nakal Hujung Simpang, Bihzhu, Teman Lelaki, Kapow, The Impatient Sisters, Servants, Crinkle Cut, Oceanlights, Heidimoru X Hasha Roslan, dan Sekumpulan Orang Gila (SOG) ft. Shila Amzah.

ALI2020 membariskan para juri profesional dalam industri muzik tanah air seperti Dato’ M. Nasir, AD Samad, Rudy Nastia, JD Wong (Pop Shuvit), Amir Jahari, Ham (Seven Collar T Shirt), Jennifer Thompson, Loy Ekzan. “Anugerah Lagu Indie bukanlah anugerah lagu berdasarkan populariti, sebaliknya kualiti adalah kriteria utama yang dinilai. Walau bagaimanapun, #ALI2020 juga memperkenalkan Anugerah Lagu Popular dan Carta Indie Kita sebagai anugerah sampingan,” jelas Loy Ekzan.

Selain itu, lagu Sekumpulan Orang Gila ft. Shila Amzah yang berjudul ‘Pelukan Angkasa’ telah membolot kedua-dua Anugerah Lagu Popular dan Carta Indie Kita.

Anugerah Lagu Popular tersebut telah dipilih berdasarkan jumlah tontonan video terbanyak persembahan Separuh Akhir di Laman Youtube Kamar Seni Studios. Anugerah ini bukan sahaja melibatkan 13 buat lagu yang bertanding di Pentas Akhir, tetapi kesemua 35 buah lagu yang telah membuat persembahan di peringkat Separuh Akhir tempoh hari.

“Indie bukanlah suatu genre. Mesej yang ingin kami bawakan menerusi #ALI2020 adalah ‘muzik untuk semua’ di mana kami dapat membuktikan bahawa lagu-lagu indie juga boleh dinikmati oleh semua orang dan bukan hanya untuk komuniti indie sahaja,” jelas Ahmed Faris Amir, Ketua Pegawai Eksekutif Rakita semasa ditemubual selepas acara tamat, semalam.

Dengan kepelbagaian genre yang dipersembahkan oleh setiap kumpulan dan penyanyi di Pentas Akhir #ALI2020, kewujudan Anugerah Lagu Indie memberi peluang dan menyediakan platform kepada lagu-lagu indie untuk mendapat perhatian dan pengiktirafan yang sama seperti lagu-lagu mainstream.