PUCHONG, 15 Mei 2020 – Berikutan situasi semasa pandemik COVID-19 dan impaknya terhadap ekonomi Malaysia, rakyat khususnya golongan belia, menghadapi kesukaran untuk mengekalkan pekerjaan semasa mereka atau mendapatkan peluang pekerjaan baharu, di samping menghadapi kesukaran untuk mengakses latihan-latihan seperti ‘upskill’ atau ‘reskill’ di luar talian.
Antara program Ramadan 2020 daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang telah diumumkan oleh YB Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican pada 4 Mei 2020 yang lalu adalah #BeliaBekerja, #BeliaCelikDuit dan #BisnesOrangMuda. Ketiga-tiga program ini dijalankan dengan matlamat untuk membantu belia di Malaysia mendapatkan penempatan kerjaya, mengasah kefahaman mereka dalam pengurusan kewangan, dan membantu belia menjana pendapatan sampingan menerusi siri video #BisnesOrangMuda.
Bagi menangani isu pengangguran dalam kalangan belia pula, KBS bekerjasama dengan Impact Malaysia dan Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) di bawah Kementerian Sumber Manusia (KSM), dengan penganjuran sebuah karnival kerjaya maya (#BeliaBekerja) bermula dari 18 Mei hingga 22 Mei 2020 melalui portal beliabekerja.com. Menerusi #BeliaBekerja, kedua-dua majikan dan pencari kerja dapat mengambil bahagian dalam proses perekrutan secara atas talian. Kolaborasi ini juga selari dengan usaha TalentCorp dalam memastikan bakat muda Malaysia sentiasa bersedia untuk menghadapi perubahan tuntutan tenaga kerja pada masa hadapan.
Bagi melahirkan belia yang cakna pengurusan kewangan pula, KBS bekerjasama dengan Impact Malaysia dan Agensi Kaunseling & Pengurusan Kredit (AKPK) menerusi kempen #BeliaCelikDuit yang dijalankan di portal rasmi power.akpk.org.my. AKPK adalah sebuah agensi yang ditubuhkan pada tahun 2006 oleh Bank Negara Malaysia untuk mendidik, memberi nasihat dan membantu individu peminjam dan bakal peminjam secara percuma dalam menguruskan kewangan dan hutang mereka. Kempen ini akan memberi tumpuan kepada topik pengurusan kewangan khusus untuk belia seperti pengurusan aliran tunai, harta, asas pinjaman dan pengurusan hutang.
Sejajar dengan inisiatif KBS, Impact Malaysia turut menganjurkan kempen ‘Impact Youth Ramadan’ yang terdiri daripada tiga program utama iaitu #BisnesOrangMuda, “Takeover Ramadan” dan “Chillax Ramadan”. Program “Takeover Ramadan” dan “Chillax Ramadan” bertujuan memberi inspirasi kepada para belia untuk menjadi penambahbaikan diri sendiri melalui siri webinar dan sesi perkongsian dengan tetamu-tetamu jemputan, manakala #BisnesOrangMuda adalah sebuah usahasama antara Impact Malaysia, Me.reka dan Pusat Inovasi & Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) bersama dengan pakar-pakar industri untuk membantu usahawan muda mengembangkan perniagaan mereka. Belia yang berminat boleh mendaftar di http://tiny.cc/impactyouthramadhan.
Untuk maklumat lanjut mengenai Program Ramadan KBS 2020 dan Impact Malaysia, sila layari impact.my, Facebook / Twitter di @impactdotmy, atau Instagram di @impactmsia. Maklumat lanjut mengenai TalentCorp boleh didapati di Facebook, Twitter dan Instagram di @talentcorpmsia.