IMPACT MALAYSIA MELANCARKAN KEMPEN “#IMPACTTOLONGHANTAR” SEBAGAI USAHA UNTUK MEMBOLEHKAN NGO MENYAMPAIKAN SUMBANGAN KEPADA GOLONGAN KURANG BERNASIB BAIK

PUCHONG, 23 Mac 2020 – Berikutan pandemik COVID-19, Impact Malaysia, sebuah inisiatif di bawah kawal selia Kementerian Belia dan Sukan (KBS), telah melancarkan #ImpactTolongHantar, sebuah usaha kolaboratif untuk membantu rakyat Malaysia yang memerlukan akses kepada makanan dan bekalan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menyedari bahawa pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) sedang menghadapi cabaran logistik dan penghantaran semasa tempoh PKP, Impact Malaysia telah memperkenalkan platform perkhidmatan penghantaran. yang boleh digunakan oleh NGO dan aktivis untuk menghantar makanan dan keperluan asas ke rumah-rumah penerima manfaat dengan selamat, sambil mengekalkan prinsip penjarakan sosial yang telah disarankan.

Melalui kempen “#ImpactTolongHantar”, Impact Malaysia bekerjasama dengan rakan-rakan penghantaran seperti TheLorry & Bungkusit, pembekal seperti Pak Grocer, MyGroser & Mydin untuk membantu NGO seperti Kechara Soup Kitchen dan NGOHub untuk menghantar bekalan makanan kumpulan penerima manfaat.

Di samping itu, sebuah projek khas untuk membekalkan makanan dan bekalan kering kepada pegawai-pegawai PDRM Selangor yang berkhidmat di barisan hadapan juga dilancarkan oleh Impact Malaysia hari ini.

Impact Malaysia menggalakkan rakyat Malaysia yang ingin menderma untuk membantu mereka yang bekerja di barisan hadapan, secara langsung dan tidak langsung dalam membanteras COVID-19, dan mereka yang memerlukan bantuan dan sokongan untuk menghubungi Impact Malaysia di https://impact.my/tolong-hantar-bm.

Impact Malaysia turut menyokong program bantuan yang dianjurkan oleh organisasi lain semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia.

Sekiranya anda ingin menyalurkan sumbangan menerusi kolaborasi bersama kami, sila hubungi Impact Malaysia di talian +603-8064-4472 atau e-mel kami di connect@impact.my.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://impact.my/tolong-hantar-bm, Facebook dan Twitter di @impactdotmy, atau Instagram di @impactmsia.